• Jabatan Amal Bantu JKM Agih Bantuan Banjir


    Oleh: Abd Muhaimin

    SETIU, 5 November - Seramai sembilan orang anggota Jabatan Amal Dewan Undangan Negeri (DUN) Permaisuri turun ke lapangan bagi membantu proses pengagihan barangan keperluan bekalan di 23 pusat pemindahan di Permaisuri yang berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

    Pegawai JKM Setiu, Amizan Che Aziz berkata, barangan tersebut adalah sebagai persediaan awal bagi menghadapi musibah banjir.

    "Ini adalah sebagai persediaan kerana kita khuatir pihak keselamatan akan terkandas akibat laluan yang tidak boleh dilalui.

    "Barang akan dihantar ke pusat operasi bekalan di lima mukim dalam daerah Setiu melibatkan 23 pusat pemindahan di DUN Permaisuri. Barangan ini sebagai persediaan awal bagi menghadapi banjir," katanya.

    Beliau berkata demikian kepada pemberita, mengulas tentang operasi banjir di pejabat JKM Setiu, kelmarin.

    Menurutnya lagi, barang yang diagihkan adalah barang mentah masakan serta tikar dan selimut. Barangan ini akan diagihkan mengikut keperluan semasa di pusat pemindahan.


    "Kita juga akan menempatkan pegawai bagi menguruskannya di setiap pusat pemindahan yang terdiri daripada wakil JKM, Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) dan bantuan sukarelawan dari Khidmat Malaysia Permaisuri serta Unit Amal," ujarnya.

    Sementara itu, Pengarah Khidmat Malaysia Setiu, Mohd Nor Hamid memberitahu, beliau menerima panggilan dari Pejabat Penyelaras DUN Permaisuri supaya mengerahkan anggota Jabatan Amal untuk hadir bagi membantu proses pemunggahan barangan tersebut di JKM Setiu.


    "Kami amat berbesar hati dapat bersama-sama membantu agensi kerajaan seperti JKM dalam menjadi sukarelawan khusus bagi membantu mangsa banjir di Permaisuri ataupun di peringkat daerah Setiu," tambahnya.

    Turut hadir menghulurkan khidmat sukarelawan, Pegawai Khas Penyelaras DUN Permaisuri, Arman Nulamir Wahab dan Setiausaha Khidmat Malaysia Daerah Setiu, Fahmi Izzuddin Hasim. - teganukita.net
  • Anda mungkin juga berminat