KUALA NERUS, 20 November - Misi menghulurkan bantuan kepada negara yang terjejas akibat perang dan malapetaka perlu diteruskan atas dasar tanggungjawab dan kemanusiaan lebih-lebih lagi kepada saudara seislam.
Pengarah Institut Modal Insan Terengganu Sejahtera (i- MiTS) Terengganu, Ustaz Kamaruzaman Abdullah berkata, kesusahan yang menimpa umat Islam adalah ujian daripada Allah SWT.
“Jadi kesengsaraan yang berlaku ni sebenarnya sebab Allah nak uji umat Islam.
“Allah Taala menguji orang Islam ini supaya kita faham dunia ini bukan tempat kekal,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Pelancaran Tabung Dana Kemanusiaan Yaman di Sabasun 2, Gong Badak, baru-baru ini (16 November).
Oleh itu katanya, kebajikan sejagat sangat penting terutamanya kepada mangsa penindasan atau bencana, sekurang-kurangnya dapat mengurangkan keperitan mereka.
“Yang pertamanya, yang kena musibah itu sendiri sabar atau tidak. Yang kedua, nak tengok orang Islam seakidah yang lain tu dia mari tak perasaan nak tolong sahabat dia yang ditimpa musibah.
“Sebab itu kita takut apabila membicarakan tentang ukhuwah ini. Nabi bersabda, "Barangsiapa yang tak ambil berat tentang kehidupan orang Islam, maka dia bukan dari mereka,” ujarnya.
Menurut beliau, keadaan pelarian di Syria sekarang kesejukan dalam musim sejuk yang tiba dan para pelarian menghadapi masalah kebuluran kerana ketiadaan makanan, minuman serta tiada tempat penginapan.
Justeru beliau mengucapkan syabas kepada agensi yang menguruskan misi-misi kemanusiaan di Yaman dan serata dunia.
Bagi sesiapa yang ingin menderma, boleh menyalurkan sumbangan melalui akaun Pertubuhan Cakna Yaman Malaysia; Maybank (562245510737) dan CIMB (8603144942). - teganukita.net