• Kerajaan Negeri Bersama Denyut Nadi Rakyat


    Oleh: Afiq M. Zaid

    BESUT, 3 Januari - Kerajaan Terengganu berusaha untuk menjadi ‘kerajaan rakyat’ yang merasai keperluan dan kepayahan rakyat di negeri itu berdasarkan pembangunan serta kemajuan yang dibina.

    Menurut Pengerusi Jawatankuasa Sumber Manusia, Keusahawanan, Industri Mikro dan Hal Ehwal Penjaja negeri, Mohd Nurkhuzaini Ab Rahman, bantuan dan pembangunan dilaksanakan seamata-mata untuk meningkatkan kesejahteraan rakyat.

    “Kerajaan kita adalah kerajaan yang bersama-sama merasai denyut nadi rakyat dalam apa jua keadaan apatah lagi dalam kesulitan dan kesusahan yang dihadapi mereka. 

    “Kita berharap dengan bantuan dan sumbangan yang diteruskan, rakyat dapat mengecapi dan boleh merasai kewujudan kerajaan sekarang ini sebagai pemerintahan yang sentiasa memberi keutamaan kepada kebajikan-kebajikan rakyat," katanya ketika ditemui pemberita semasa menyampaikan bantuan Tabung Darul Iman (TDI) di Kampung Gong Kepas Luar, baru-baru ini.


    Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Putera itu menyampaikan sendiri bantuan Tabung Darul Iman (TDI) kepada penerima bagi meringankan beban mereka.

    Katanya, penerima-penerima bantuan ini pastinya menantikan sumbangan daripada kerajaan negeri bersempena tahun baru ini.

    “Bantuan ini telah diluluskan oleh pihak TDI di bawah Exco Kebajikan. Kita memilih tarikh 1 Januari ini bagi menceriakan tahun baru pesakit-pesakit kronik yang terpilih ini di kawasan Kota Putera ini.

    "Alhamdulillah, hari ini kita telah berkunjung terus kepada rumah-rumah sebahagian besar daripada penerima-penerima ini dan menyampaikan sendiri bantuan.

    “Mereka pastinya menanti sedikit sentuhan atau sumbangan daripada kerajaan kepada mereka," ujarnya.

    Program tersebut diadakan dengan mendapat kerjasama ahli-ahli Kelab ‘Alternative Riding Club’ (ARC) Besut yang berkonvoi dengan 10 buah motosikal dari rumah ke rumah.

    "Istimewanya, semua motorsikal-motorsikal yang mengiringi saya pada hari ini memiliki plat nombor yang dimulai dengan 'P.A.S'.

    “Ini adalah satu keunikan yang ada di Besut ini. Kita mempunyai ahli ARC yang mempunyai motorsikal berplat nombor P.A.S antara yang teramai di Malaysia," katanya lagi. - teganukita.net
  • Anda mungkin juga berminat