Oleh: Syed Abdul Rahman
KUALA TERENGGANU, 6 Januari- Terharu dengan kunjungan wakil rakyat yang sudi menziarahinya, seorang pesakit strok Roslan Omar,61, menzahirkan ucapan terima kasih kepada rombongan dari Pusat Khidmat Dewan Undangan Negeri (DUN) Bandar.
Roslan yang juga bekas Pengerusi Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung (JKKK) Losong Haji Su dalam keadaan sebak merakamkan penghargaan kepada semua yang sudi menziarahinya.
“Ribuan terima kasih di atas usaha Yang Berhomat (YB) untuk melihat saya sembuh, semoga pemerintahan kerajaan baru di Terengganu berkekalan demi kesejahteraan rakyat,” ujar Roslan.
Roslan yang menghidap penyakit strok hampir setahun yang lalu memerlukan perbelanjaan yang tinggi untuk menampung kos rawatannya.
“Kos untuk saya menerima setiap suntikan di sebuah klinik swasta di Kota Bharu agak tinggi dalam usaha merawat penyakit ini dan alhamdulillah rombongan dari Pusat Khidmat Dun Bandar menyatakan kesudian untuk menampung sebahagian dari kos tersebut," ujarnya.
Program ziarah berkala itu diketuai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bandar, Ustaz Ahmad Shah Muhamed dan turut dihadiri Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Losong Haji Su, Mohd Muda dan beberapa pegawai Institut Modal Insan Terengganu Sejahtera (i-MiTS) DUN Bandar.