Oleh: Nooreni Abu Bakar
DUNGUN, 16 Januari- Mungkin ramai tidak mengetahui bahawa bilal yang lunak mengalunkan azan di Masjid An Naim sebenarnya seorang yang hampir hilang penglihatan.
Zakaria Yaakub, 62 yang bertugas sebagai bilal di masjid tersebut sejak lapan tahun lalu telah kehilangan penglihatan mata kanan manakala sebelah lagi kabur.
Isterinya, Khadijah Hashim kini terpaksa memandu untuk menghantar suaminya ke masjid setiap kali tiba giliran bertugas sebagai bilal.
"Dah tiga tahun mata sebelah kanan suami makcik tidak nampak. Giliran pakcik bertugas pada setiap Selasa dengan Rabu dan makciklah yang hantar dia," katanya.
Menurut Khadijah, Zakaria yang lebih dikenali sebagai Pok Bakar juga mengajar Al Quran di rumah dan pandai mengurut.
"Kalau orang nak berurut, makciklah yang hantar dia ke rumah orang tu, lepas tu makcik ambil," kata Khadijah yang juga pandai berurut setelah belajar dengan suaminya.
Sementara itu, Penolong Pegawai Hal Ehwal Kemasyarakatan,Institut Modal Insan Terengganu Sejahtera (i-MiTS) Rantau Abang, Muhammad Muaz Anuar berkata, bersimpati dengan keadaan Pok Bakar, pihaknya akan berusaha untuk mendapatkan bantuan menerusi Tabung Darul Iman memandangkan warga emas itu turut menghidapi kencing manis kronik.
Katanya, banyak peruntukan yang disalurkan oleh agensi kerajaan kepada yang berhak tidak diketahui ramai kerana kurang mendapat maklumat.
"Seperti Tabung Darul Iman(TDI), Zakat MAIDAM, Jabatan Kebajikan Masyarakat dan Yayasan Pembangunan Keluarga Terengganu (YPKT).
"Ada yang sepatutnya layak, misalnya kena potong jari, dikira kencing manis kronik, layak memohon untuk Tabung Darul Iman, jadi datanglah ke pejabat i-MiTS kita akan bantu," katanya kepada pemberita ketika ditemui di Pejabat i-MiTS Rantau Abang, kelmarin. - teganukita.net