• MB Temui Duta Mesir Bincang Pusat Bahasa Arab

     Salah Mohi Eldin (tengah) melihat salinan MoU antara Kerajaan Terengganu dengan Universiti Al-Azhar ketika Dr Ahmad Samsuri dan rombongan kerajaan mengunjungi Kedutaan Mesir di Kuala Lumpur baru-baru ini.

    KUALA LUMPUR, 16 Januari - Menteri Besar Dr Ahmad Samsuri Mokhtar serta rombongannya mengadakan lawatan muhibbah kepada Duta Besar Mesir Salah Mohi Eldin Elwassimy di Kedutaan negara itu di sini baru-baru ini bagi membincangkan pusat bahasa Arab (Markaz Lughah) yang bakal di bina di Terengganu.

    Dalam pertemuan itu menteri besar mengemukakan Memorandum Persefahaman (MoU) antara Universiti Al-Azhar dan kerajaan negeri mengenainya untuk maklumat dan tindakan sewajarnya dari kerajaan negara itu.

    Difahamkan Salah Mohi Eldin mengambil maklum dan akan membincangkan lebih lanjut dengan pihak berkenaan untuk merealisasikan hasrat kerajaan negeri itu.

    MB (tiga dari kanan) menghadiahkan kayu gaharu Terengganu kepada Salah Mohi Eldin (tiga dari kiri).


    Rombongan menteri besar disertai oleh Pengerusi Jawatankuasa Pelaksanaan Syariah, Pendidikan dan Pengajian Tinggi negeri Ustaz Satiful Bahri Mamat dan beberapa orang pegawai kerajaan lain.

    Terdahulu dari itu, kerajaan negeri memperuntukkan RM2.5 juta menerusi Belanjawan 2019 bagi penubuhan Pusat Bahasa Universiti Al-Azhar cawangan Negeri Terengganu.

    Satiful Bahri ketika ke udara di Radio Manis FM baru-baru ini berkata, pihaknya sangat berbesar hati dengan penubuhan Markaz Lughah yang pertama di Malaysia itu yang mana kedua-dua pihak telah menandatangani MoU di Mesir Oktober lalu.

    Salah Mohi Eldin (kiri) memperkatakan sesuatu kepada Dr Ahmad Samsuri.

    Menurut beliau, penubuhannya memberi banyak manfaat kepada mahasiswa dan mahasiswi di negeri Terengganu terutamanya dari segi penjimatan kos dan tempoh pengajian sebelum meneruskan pengajian di Universiti Al-Azhar.

    Katanya, berperanan sebagai pusat persediaan dan penguasaan Bahasa Arab, ianya ditempatkan di Bangunan Hab Digital Terengganu, TD1303.

    “Sekarang dalam proses penyeliaan tempat dan sebagainya, malah kerajaan negeri juga telah meluluskan peruntukan untuk membaik pulih bangunan TD1303 untuk dijadikan pusat bahasa ini.

    "Yang paling penting, Sijil Markaz Lughah ini diiktiraf di serata dunia dan menjimatkan masa para pelajar yang bakal menyambung pengajian di Universiti Al-Azhar kerana tidak perlu mengambil bidang bahasa Arab di sana, sebaliknya terus masuk ke kuliah," ujarnya.

    MB (tengah) bersama rombongan kerajaan negeri bergambar dengan Salah Mohi Eldin (tiga dari kanan) dalam pertemuan di Kedutaan Mesir Kuala Lumpur baru-baru ini.
    Katanya, kerajaan negeri bertuah kerana dapat bekerjasama dengan universiti berkenaan yang mempunyai sistem kurikulum yang baik dan para pensyarah yang berkemahiran dalam melatih para pelajar. - teganukita.net
  • Anda mungkin juga berminat