• KPK Pemacu Pelabuhan Kemaman

    Haji Ahmad Amzad (duduk) ketika berada dalam Kapal Tunda Harmoni 1.
    KEMAMAN, 3 Januari - Konsortium Pelabuhan Kemaman Sdn Bhd (KPK) dijangka melaksanakan penambahbaikan untuk kemudahan dermaga termasuk meningkatkan pembangunan industri besi dan lain lain dalam tempoh tiga tahun akan datang.

    Pengerusi KPK, Haji Ahmad Amzad Hashim berkata, berasaskan situasi semasa, KPK perlu melaksanakan penambahbaikan kemudahan dermaga dalam tempoh tersebut untuk peningkatan pembangunan dalam industri besi dan lain lain.
    Katanya, adalah menjadi hasrat Kerajaan Negeri Terengganu untuk melihat Pelabuhan Kemaman menjadi pemangkin kepada perkembangan ekonomi negeri.

    Beliau berkata demikian ketika dihubungi pemberita hari ini.

    Haji Ahmad Amzad (kanan) ketika diberi taklimat di Pelabuhan Kemaman.

    Beliau yang juga Ahli Parlimen Kuala Terengganu telah melakukan lawatan bersama semua ahli lembaga Pengarah KPK pada 31 Disember lalu untuk meninjau kemajuan pelabuhan tersebut.

    KPK adalah anak syarikat Eastern Pacific Industrial Corporation Berhad (EPIC) yang memiliki konsesi 60 tahun dari Kerajaan Malaysia untuk mengurus Pelabuhan Kemaman termasuk Dermaga Timur dan Liquid Chemical Berth selain khidmat sokongan untuk Kemudahan Terminal Gas milik PETRONAS dilokasi yang sama.

    Selain itu EPIC melalui anak syarikatnya, Sukma Samudra Sdn Bhd (SS) memiliki dan mengendalikan operasi Dermaga Barat.

    Haji Ahmad Amzad adalah Ahli Lembaga Pengarah EPIC yang diamanahkan menjadi Pengerusi KPK dan SS.

    Beliau berkata, tujuan lawatan adalah untuk bertemu dengan Pengurusan KPK dan SS serta menyampaikan matlamat yang ditetapkan oleh kumpulan EPIC, mengeratkan hubungan kerja Lembaga Pengarah dan Pengurusan dan meninjau sendiri secara fizikal operasi dan fasiliti di Pelabuhan dan apa apa rancangan pembangunan dan perniagaan.

    "Saya sempat melihat perjalanan operasi di menara kawalan dan berpuas hati dengan tahap persiapan, kemahiran pasukan yang sentiasa dipantau Jabatan Laut Semenanjung Malaysia," jelas beliau.

    Haji Ahmad Amzad (kiri) ketika melawat Pelabuhan Kemaman baru-baru ini.
    Katanya, tinjauan dibuat berkait dengan kemudahan di darat dan juga sekitar basin (lembangan) pelabuhan dengan menaiki kapal tunda Harmoni 1.

    "Kami akan merumuskan hasil lawatan dan membawa apa apa rancangan pembangunan yang boleh memacu pertumbuhan di peringkat KPK, SS dan EPIC," jelas beliau lagi.

    Pelabuhan Kemaman, yang terletak di Pantai Timur Semenanjung Malaysia, merupakan salah satu pelabuhan laut yang paling dalam di Malaysia dan pelabuhan yang pantas untuk muncul sebagai pintu masuk baru ke rantau Asia Pasifik.

    Sebagai pelabuhan laut dalam, ia beroperasi sepanjang tahun tanpa mengira keadaan cuaca, sekaligus  mampu mengendalikan khidmat untuk semua jenis kapal sehingga 150,000 'Deadweight Tonnage' (DWT) dan pelbagai jenis kargo dari kargo umum, curah kering hingga pukal cecair.

    KPK mengendalikan terminal pelabuhan Kemaman iaitu Terminal Dermaga Timur dan Terminal Liquid Chemical Berth (LCB).

    LCB adalah terminal khusus untuk mengendalikan kargo kimia cecair. Ia beroperasi sepenuhnya untuk menampung keperluan industri berkaitan kimia. 


    Pelabuhan Kemaman dilihat  dari Laut China Selatan.
    Dermaga ini panjangnya 289 meter dan mampu menampung keperluan melabuh, kapal sehingga 150,000  DWT.

    Ia juga mempunyai ruang yang tersedia untuk 50 saluran paip dan enam 'loading arms' dan dilengkapi dengan ciri keselamatan.

    KPK juga menyediakan perkhidmatan marin seperti kapal tunda, kawalan lalu lintas, bot perintis, perkhidmatan pengendalian kargo (stevedorage, crainage, forklift), sewa gudang, halaman terbuka, bekalan air tawar, bunkering, pembaikan kecil dan perkhidmatan sokongan lain. - teganukita.net
  • Anda mungkin juga berminat