• Projek ECRL Perlu Diteruskan

    Haji Ahmad Amzad (kanan) ketika menyeberangi titian kayu untuk menziarahi beberapa orang pesakit di Kampung Wakaf Mempelam Kuala Terengganu.
    KUALA TERENGGANU, 4 November - Kerajaan Pusat tidak perlu terburu-buru membatalkan Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) sebaliknya ia perlu diteruskan untuk kepentingan rakyat.

    Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Haji Ahmad Amzad Hashim berkata,  projek berimpak tinggi seperti ECRL yang mempunyai kesan jangka panjang untuk pembangunan wilayah timur itu, perlu dicari jalan penerusan, jangan terburu-buru dibatalkan.

    Beliau berkata demikian di status facebooknya, meminta kerajaan menangguhkan pembatalan projek tersebut supaya kajian semula dibuat untuk membolehkan ia diteruskan di masa akan datang.

    Beliau sangat kecewa dengan pembentangan belajawan Kerajaan Pakatan Harapan (PH) kerana kebanyakan ulasan yang menyebut nama wilayah adalah berkenaan projek-projek di Kuala Lumpur, Pulau Pinang, Perak, Sabah Sarawak.

    "Jika dibandingkan dengan  pembentangan bajet  tahun lalu, ada projek di Terengganu atau Kelantan diumumkan, tahun ini macam tiada apa-apa. 

    "Tentu sekali memang ada senarainya. Tetapi bila ia tidak disebut, maka seolah-olah projek di Terengganu dan Kelantan tidak signifikan untuk disebut," ujarnya.

    Kerana itu, katanya, pembentangan belanjawan tersebut disifatkan sebagai gagal mempamerkan iltizam kerajaan dalam menghayati retorik “Pembangunan Wilayah Yang Seimbang" sebagaimana termaktub dalam manifesto PH dan juga dalam ucapan Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia ke 11 (RMK-11) oleh Perdana Menteri (PM), Tun Dr Mahathir Mohamad baru baru ini.

    "Bagaimanapun, saya alu-alukan peruntukan besar sehingga RM60 bilion bagi sektor pendidikan yang menjadi penentu pembentukan warga yang berkualiti dan berdaya saing.

    Ketika mengulas mengenai pembentangan Belanjawan 2019 oleh Menteri Kewangan, Lim Guan Eng itu, beliau menyifatkan ia belanjawan yang bersejarah kerana ia merupakan belanjawan kali pertama sejak merdeka dari parti yang tidak bertunjangkan UMNO.

    "Sejak merdeka, parti yang memerintah adalah Parti Perikatan yang kemudiannya dijenamakan kepada Barisan Nasional (BN)," ujarnya.

    Katanya, sudah agak lama ia tidak dibentangkan oleh Menteri Kewangan sebagaimana sekarang.

    "Ianya sejak krisis antara Tun Dr Mahathir dan Datuk Seri Anwar Ibrahim yang membawa pemecatan Anwar Ibrahim yang ketika itu dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri dan juga Menteri Kewangan.

    "Sebelum ini, jawatan Menteri Kewangan dipegang oleh Perdana Menteri sendiri. Maka, sebelum ini rakyat melihat pembentangan belanjawan oleh Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan.

    "Lebih menarik lagi sudah agak lama Menteri Kewangan dipegang oleh orang Melayu, ini kali pertama kaum Cina mendapat peluang memegang Menteri  Kewangan setelah kali terakhir oleh Mendiang Tan Siew Sin dari  MCA antara tahun 1958 hingga 1974," ulasnya lagi.

    Menurut beliau, secara umumnya sudah dijangka pengurangan dibuat dalam jumlah belanja mengurus dan belanja pembangunan dari RM280 bilion untuk tahun 2018 kepada hanya RM251 bilion untuk tahun 2019.

    "Saya mengalu-alukan langkah penjimatan dengan memberi tumpuan penerusan projek yang betul-betul bermanfaat kepada rakyat serta langkah pengurusan kos dengan rundingan semula harga dan spesifikasi. 

    "Saya bersetuju projek mega yang membazir dan bermasalah dibatalkan," tegasnya.


    Kerajaan menjangkakan defisit fiskal yg lebih tinggi iaitu 3.7 peratus pada tahun 2019 berbanding sasaran 2.8 peratus pada tahun 2018, tentu sekali ia melibatkan pembiayaan hutang baru oleh kerajaan.

    "Saya tertarik dengan penubuhan Pejabat Pengurusan Hutang Negara, pengenalan Akta Kebertanggungjawaban Fiskal, Akta Perolehan Kerajaan.

    "Semoga ia menambah ketelusan dalam pengurusan wang awam," ujarnya.

    Katanya, perubahan sistem perakaunan dari belanjawan asas tunai kepada akruan sangat menarik perhatian.

    "Kenaikan cukai judi pada saya tidak akan menghalang masyarakat untuk terus berjudi. Ia satu penyakit. Tapi saya rasa ia boleh beri tekanan kepada sebahagian kaki judi dengan menaikkan kos untuk berjudi. Ia seperti juga cukai rokok. Bagaimanapun masyarakat terus merokok," jelasnya.

    Justeru Haji Ahmad Amzad  mencadangkan sebahagian kutipan cukai tersebut diperuntukkan untuk kempen kesedaran anti judi , rokok dan alkohol.

    "Saya alu alukan langkah pengurangan “special draw” (sejenis judi) sebanyak 50 peratus. Semoga ia dikembangkan ke jenis jenis judi yg lain.

    "Jika kerajaan boleh menggazetkan semua restoran terbuka sebagai Zon Bebas Asap Rokok, saya minta ia disekalikan sebagai Zon Bebas Alkohol kerana kesan negatif kedua duanya sama," jelasnya.

    Beliau juga mengalu alukan subsidi untuk seimbangkan harga barangan pengguna antara semenanjung dan Sabah Sarawak. 

    Katanya, aplikasi 'Price Catcher' kedengarannya menarik kerana rakyat diajak terlibat sama memantau harga.

    Sementara itu kenaikan gaji minima dari RM1,050 kepada RM1,100 pula masih jauh dari kemampuan rakyat untuk berdepan kos sara hidup yg ternyata tidak berkurang setelah kerajaan memperkenalkan SST.

    "Saya perlu melihat dengan lebih detail hal ini," tegasnya. - teganukita.net
  • Anda mungkin juga berminat