• Kerajaan Sedia Salur Bantuan Kepada Petani

    Mohd Nor Hamzah menyeru orang ramai menceburi industri asas tani. Foto - Syaharulhafizi Shamsudin
    Pelbagai jabatan dan agensi yang mewakili kerajaan negeri bersedia untuk menyalurkan bantuan kepada rakyat dalam bidang pertanian.

    Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan negeri, Ustaz Mohd Nor Hamzah berkata, kerajaan negeri khususnya membuka peluang kepada petani untuk meningkatkan hasil mereka melalui bantuan-bantuan yang disediakan.

    "Kita ada banyak agensi kerajaan yang sedia membantu. Cuma para petani kurang pendedahan kepada perkara tersebut.

    "Justeru, kerajaan negeri membuka laluan kepada petani dan bakal petani untuk melihat peluang yang tersedia melalui pertemuan-pertemuan dengan petani di lapangan," katanya.
    Petani memberi respon yang baik dalam sesi soal jawab. 
    Beliau berkata demikian ketika ketika berucap dalam Majlis Santai Bersama Petani anjuran Pusat Khidmat Masyarakat Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Payung dengan kerjasama Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Undang dan Tok Rimau di Dataran Undang, Bukit Payung, semalam.

    Ustaz Mohd Nor Hamzah yang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Payung berkata, kita mengetengahkan peluang-peluang untuk memulakan kerjaya dalam pertanian dan menjawab permasalahan semasa petani.

    Beliau berharap pertemuan itu akan menggalakkan lebih ramai rakyat akan menceburi bidang pertanian.

    "Pendedahan ini diharap membuka lebih banyak peluang rakyat untuk menjadikan pertanian sebagai kerjaya," katanya.

    Seramai kira-kira lebih 200 orang petani hadir dalam majlis tersebut yang turut dimeriahkan dengan jamuan pelbagai jenis buah-buahan.

    Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Desa, Dr Azman Ibrahim serta wakil agensi-agensi yang tertumpu kepada bidang pertanian.

    Jamuan buah-buahan sumbangan para petani.

  • Anda mungkin juga berminat