Oleh : Ariss Alias
SETIU-Pengusaha sarang burung Walit di daerah ini disaran menaiktaraf sistem
pemasangan kamera litar tertutup (CCTV) bagi mengelak kes kecurian sarang burung berlaku.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Desa negeri, Dr Azman Ibrahim berkata, kaedah ini perlu bagi memberi amaran yang lebih cepat dan tepat kepada pengusaha.
“Pengusaha dinasihatkan agar menaik taraf kepada CCTV yang lebih berkualiti dan tempatkan alat tersebut di tempat tersorok serta memasang penggera yang dapat memberi maklumat terus kepada pengusaha.
“Disamping itu, mereka (pengusaha) juga hendaklah tidak mementingkan diri dan saling bekerjasama antara satu sama lain,’ ujarnya ketika berucap di majlis perjumpaan bersama pengusaha burung walit peringkat daerah Setiu bertempat di dewan Ibu Pejabat Polis Daerah Setiu, kelmarin.
Katanya yang juga merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jabi, satu mesyuarat juga akan diadakan dengan Jabatan Veterinar bagi membincangkan kaedah terbaik mengatasi masalah yang dihadapi oleh pengusaha burung walit. - teganukita.net