• SUKMA 2018 : Perasmian Penuh Gemilang

    Perasmian SUKMA Ke-19 di Stadium Perak.Foto oleh:Harish Fadzillah Kassim

    IPOH - Selepas 24 tahun, padang Stadium Perak kembali bergemerlapan sebagai tuan rumah buat kali kedua, Sukan Malaysia (SUKMA) ke-19 membuka tirai secara rasmi dengan penuh gemilang meskipun hujan renyai, malam ini.

    Keadaan itu tidak menghalang lebih 30,000 orang ramai membanjiri stadium seawal jam 6 petang bagi menanti penuh sabar acara kemuncak pengisytiharan perasmian yang disempurnakan oleh Sultan Perak Sultan Nazrin Muizzuddin Shah.

    Turut berangkat, Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim; Raja Muda Perak, Raja Jaafar Raja Muda Musa dan Raja Dihilir Perak, Raja Iskandar Dzulkarnain Sultan Idris Shah.

    Hadir sama, Menteri Besar Perak, Tuan Ahmad Faizal Azumu; Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman; menteri-menteri, menteri-menteri besar dan ketua-ketua menteri.

    Pada majlis yang diserikan dengan persembahan pembukaan Indera Sakti membabitkan 700 peserta itu turut menggunakan lampu laser berteknologi tinggi yang ditembak pada skrin layar berada di tengah padang Stadium Perak.

    Kepelbagaian persembahan kebudayaan, replika mata keris gergasi yang dijadikan sebagai obor menjadi antara tarikan kepada penonton pada majlis perasmian SUKMA Perak 2018, kali ini.

    Kontijen Terengganu di Majlis Perasmian SUKMA Ke-19 2018 di Stadium Perak
    SUKMA 2018 akan berlangsung dari 12 hingga 22 Sept ini dengan mempertandingkan sebanyak 427 pingat emas melibatkan 29 jenis sukan dan 39 venue di 12 daerah seluruh Perak.

    Terengganu yang muncul juara keseluruhan empat kali berturut-turut SUKMA bermula 2008, 2010, 2011 dan 2012 menyasarkan kutipan keseluruhan 53 pingat emas, 32 perak dan 50 gangsa dalam temasya di Perak kali ini. - teganukita.net
  • Anda mungkin juga berminat