• Tetapkan Matlamat Untuk Capai Cita-cita - MB

    Dr Ahmad Samsuri berucap di Program Bicara Tokoh UMT Gong Badak Kuala Nerus.


    KUALA NERUS - Menteri Besar, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, pelajar baharu pusat pengajian tinggi perlu menetapkan matlamat yang betul dan tabah menghadapi cabaran dalaman dan luaran untuk menempa kejayaan masa depan yang lebih cemerlang.

    Katanya, kegagalan menempa kejayaan dalam sesuatu perkara bukan satu perkara penting kerana semua orang pernah merasai kegagalan tetapi menangani kegagalan itu sesuatu yang perlu diberi tumpuan.

    "Seperti kata Lagenda Tinju Dunia Al-Marhum Muhammad Ali, jatuh dalam gelanggang suatu yang biasa berlaku tetapi tidak berjaya bangun dari jatuh dalam gelanggang menjadi satu masalah besar," kata Dr Ahmad Samsuri.

    Ini bermaksud, pelajar perlu menangani masalah kegagalan dengan betul sehingga kejayaan dalam dunia ilmu dapat dicapai semaksima mungkin.



    Beliau berkata demikian ketika bercakap di Program Bicara Tokoh Sempena Minggu Jalinan Mesra 2018 Universiti Malaysia Terengganu (UMT) di hadapan Naib Cancelornya Prof Dr Noraini Haji Mokhtar, tenaga kepimpinan, kakitangan dan 3 ribu pelajar baharunya di sini 3 September.

    Dr Ahmad Samsuri yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rhu Rendang berkata pelajar baharu perlu menetapkan gol (matlamat) dalam mencapai cita-cita mereka supaya kejayaan dapat dicapai dengan memanfaatkan masa di universiti sebaik mungkin.

    Dr Ahmad Samsuri (tengah) menyampaikan Dermasiswa Al-Ikhlas kepada wakil pelajar.

    Kegagalan di menara gading berlaku kerana matlamat yang hendak dicapai berubah, tidak fokus dan tidak kuat menghadapi cabaran dalaman dan luaran.

    Cabaran dalaman termasuk kawan-kawan sekampus, persekitaran kampus dan masalah kewangan manakala cabaran luaran ialah kaum keluarga dan dunia di luar kampus.

    MB bertanyakan sesuatu kepada pelajar baharu UMT.

    Untuk itu katanya pelajar perlu berjumpa dengan pihak kaunselor unversiti sekiranya mereka menghadapi masalah kewangan dan sebagainya supaya semua cabaran itu tidak menggugat daya juang untuk mencapai kejayaan pelajar di menara gading.
    Mereka perlu juga mempunyai 'soft skill' (sifat kepimpinan dan skill perhubungan awam yang baik) dan dibinanya ketika berada di kampus kerana ia penting dimanfaatkan selepas keluar dari universiti termasuk dalam soal berkecimpung dalam bidang kerjaya nanti.

    Katanya, pelajar juga perlu berinteraksi dengan masyarakat luar kampus bagi membina soft skill berkenaan.
    Dr Ahmad Samsuri turut melawat pameran berkait dengan kelulut dan sumber marin sempena majlis tersebut. - teganukita.net
  • Anda mungkin juga berminat