• Fuad Juara Sultan Mizan Cup

    Sultan Mizan Zainal Abidin berkenan menyampaikan piala dan hadiah kepada Mohammad Fuad.
    SETIU - Mohammad Fuad Hashim mencatat masa 6 jam 45 minit dan 7 saat untuk memenangi perlumbaan Competition Endurance International (CEI) 120KM sempena Kejohanan Kuda Lasak Antarabangsa Piala Sultan Mizan 2018 yang berakhir semalam.

    Pelumba pasukan State of Terengganu Endurance Team (STET) itu membawa pulang wang tunai RM25,000, piala pusingan, piala iringan, medal, seutas jam tangan dan sebuah motosikal Yamaha Ego.

    Turut berkenan menyertai perlumbaan bertaraf dua bintang itu, Sultan Terengganu, Sultan Mizan yang mewakili Royal Terengganu Endurance Stable (RTES) serta 27 pelumba lain dari tiga buah negara iaitu Malaysia, Thailand dan Singapura.

    Dr Samsuri (dua dari kanan) melepaskan pelumba kejohanan.
    Kejohanan edisi ke-11 itu disempurnakan pelepasannya oleh Menteri Besar, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar diiringi Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah di Terengganu International Endurance Park (TIEP), Lembah Bidong, Setiu pada hari kedua kejohanan.

    Kejayaan Mohammad Fuad mengulangi pencapaiannya sebagai juara pada edisi pada tahun 2016 lalu. Lebih manis, kudanya Mora Makaka turut dinobatkan kuda terbaik sekaligus meraih hadiah wang tunai berjumlah RM25,000 dan pelana.

    Dalam kejohanan tersebut, Persatuan Equin Terengganu dengan kerjasama RTES dan STET di bawah seliaan Riding for Disabled Association Malaysia (RDA)  turut memperkenalkan program 'Hippotherapy', sebuah program terapi kanak-kanak kurang upaya dengan cara menunggang kuda yang baru ditubuhkan di Terengganu awal tahun ini.

    Dr Samsuri mengalungkan medal kepada salah seorang peserta yang melakukan demonstrasi 'Hippotherapy'.
     
  • Anda mungkin juga berminat