KUALA TERENGGANU - Laluan di antara Jabor dan Kijal di antara KM250 dan KM305.9 yang meliputi sebahagian daripada Lebuhraya Pantai Timur 1 (LPT1) dan Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2) akan ditutup sementara pada 20 Oktober (Sabtu) akan datang bermula jam 12:00 tengah malam hingga 2:00 petang bagi memberi laluan kepada penganjuran acara berbasikal De’ Perasing Ride@LPT2.
Pengurus Perniagaan Wilayah LPT 2 Sdn Bhd, Roszi Ibrahim berkata, penutupan laluan Jabor-Kijal tersebut juga membabitkan Persimpangan Bertingkat Cheneh dan Persimpangan Bertingkat Chukai di LPT2.
Sehubungan dengan itu, orang ramai dinasihatkan supaya menggunakan laluan alternatif serta merancang perjalanan mereka sepanjang penutupan tersebut.
“LPT2 akan menggunakan pelbagai saluran untuk menghebahkan penutupan sementara tersebut kepada orang ramai termasuk media elektronik dan media cetak, media sosial, papan tanda elektronik, laman web, Twitter LPT2Trafik dan lain-lain lagi,” jelas Roszi.
“Orang ramai dari arah Kuala Lumpur yang ingin ke Pantai Timur dinasihatkan supaya keluar dari Lebuh raya LPT1 menerusi Plaza Tol Jabor. Sekiranya mereka ingin meneruskan perjalanan ke Kuala Terengganu dan Kelantan menerusi Lebuh raya LPT2, pengguna lebuh raya dinasihatkan supaya masuk semula ke Lebuh raya LPT2 menerusi Plaza Tol Kijal,” tambah Roszi.
Bagi kenderaan dari arah Kuala Terengganu yang menghala ke Kuala Lumpur, mereka perlu keluar di Plaza Tol Kijal di Lebuh raya LPT2 sebelum masuk semula ke Lebuh raya LPT1 menerusi Plaza Tol Jabor untuk meneruskan perjalanan ke Kuala Lumpur.
LPT2 juga bekerjasama dengan pihak polis dan pihak-pihak lain dalam memastikan kelancaran trafik dan membantu orang ramai sepanjang tempoh penutupan sementara tersebut.
Laluan di antara Jabor dan Kijal dijangka dibuka semula kepada orang ramai mulai jam 2:00 petang pada 20 Oktober sejurus berakhirnya acara berbasikal tersebut.
----Disiarkan oleh LPT 2 Sdn Bhd. - teganukita.net