Haji Yahaya melihat serban peninggalan Rasulullah SAW ketika merasmikan Pameran Jelajah Nusantara 2018 di TTC, Kuala Terengganu, hari ini. |
Pameran yang bermula 23 September hingga 23 Oktober ini julung kali diadakan di Terengganu bagi memberi peluang kepada orang ramai dari negeri ini khususnya untuk menyaksikan sendiri sebanyak 32 artifak peninggalan Rasulullah SAW dan para sahabat.
Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri, Haji Yahaya Ali berkata, selain memberi pendidikan dan pengetahuan kepada pengunjung mengenai artifak yang dipamerkan serta kegemilangan tamadun Islam, pameran tersebut juga banyak memberi pengajaran kepada pengunjung.
Katanya, orang ramai tidak sepatutnya meragui ketulenan artifak-artifak dan motif penganjuran pameran itu seperti diviralkan di laman sosial, sebaliknya memandang dari sudut positif.
“Kita tidak perlu hendak bahaskan dari sudut kesahihan, soal keaslian dan seumpamanya tetapi mengambil pengajaran daripada pameran ini.
“Yang lebih penting adalah pengajaran yang boleh kita ambil kerana Rasulullah SAW telah lama meninggalkan kita. Jadikan pameran ini sebagai sumber inspirasi dan juga kekuatan kepada kita untuk meneguhkan keimanan dan juga mencontohi keperibadian dan perjuangan baginda dalam menegakkan agama Islam,” ujarnya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Pameran Jelajah Nusantara 2018 di TTC, Kuala Terengganu (11 Oktober).
Katanya, pameran atas usaha bersama kerajaan negeri melalui Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU) Terengganu dengan Syarikat Dragon Heart Sdn Bhd itu menyasarkan kehadiran 100,000 pengunjung.
“Sehingga kini, seramai 57,000 orang telah mengunjungi pameran ini dan berbaki dua minggu lagi kita yakin jumlahnya makin bertambah,” ujarnya.
Haji Yahaya turut mengajak orang ramai supaya merebut peluang keemasan itu walaupun bayaran RM10 dan RM5 dikenakan terhadap dewasa dan kanak-kanak kerana nilai barang yang dipamerkan lebih mahal malah tiada tolak bandingnya. - teganukita.net