Oleh: Mohd Adli Mohamad
DUNGUN- Penduduk Kampung Bukit Besi di daerah ini menjalani kehidupan yang tidak tenteram apabila kawasan kampung mereka menerima ancaman beruang.
Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Bukit Besi, Ahmad Bakhir Chik berkata, kehadiran dua ekor beruang yang dipercayai Beruang Matahari mendatangkan perasaan gusar dan cemas kepada komuniti kampung.
"Sudah beberapa malam penduduk terserempak dengan beruang tersebut dan mendatangkan kerisauan kepada komuniti disini.
"Dikhabarkan oleh penduduk yang ternampak beruang itu didapati dua beranak, dipercayai ibu dan anak kerana yang jantan biasanya berjalan seekor," ujarnya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui meninjau kawasan yang dipasangkan perangkap beruang berkenaan bersama Pegawai Penyelaras Dewan Undangan Negerj (DUN) Bukit Besi, Ghazali Sulaiman di Kampung Bukit Besi (9 Oktober).
Katanya, beliau amat menghargai tindakan cepat Jabatan Perlindungan Haiwan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) yang segera menghantar perangkap.
Menurut beliau, hasil maklumat Perhilitan dipercayai Beruang Matahari tersebut sebelum ini berada di kawasan Hulu Dungun dimana tempat yang terdapat banyak buah-buahan.
“Beruang ini mula masuk pada penghujung Ogos lalu ke Bukit Besi kerana pada masa itu musim buah-buahan dan berkemungkinan kehadirannya untuk mencari buah sebagai makanan.
"Saya mohon buat masa ini penduduk berhati-hati dan sentiasa berjaga-jaga dan diharapkan dengan adanya perangkap yang dipasang Perhilitan ianya mampu memerangkap beruang tersebut," katanya.
Katanya, sebagai Pengerusi MPKK Bukit Besi, beliau bertanggungjawab dan perlu prihatin terhadap keselamatan orang kampung dan bertindak sebagai pemudahcara untuk menyelesaikan permasalahan yang melibatkan komuniti kampung. - teganukita.net