Terengganu idam kekalkan pencapaian lalu. |
Kontinjen mereka turut disertai 51 pegawai Jabatan Belia dan Sukan Terengganu terdiri jurulatih dan pengiring.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) Negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, kontinjen Para meletakkan sasaran 68 pingat untuk kejohanan kali ini.
"Tahun ini terdapat peraturan baharu di mana had umur atlet tidak melebihi 45 tahun menyebabkan beberapa atlet kita yang berbakat tidak dapat bermain.
"Bagaimanapun, kita meletakkan sasaran mengekalkan tempat ketiga sebagaimana yang diperolehi pada Para SUKMA di Sarawak dua tahun lalu," katanya kepada pemberita ketika Majlis Penyerahan Bendera Kontinjen Para SUKMA Terengganu di Kompleks Belia dan Sukan, semalam.
Dalam majlis itu, Wan Sukairi turut berharap Pasukan Terengganu berjaya mencapai sasaran 28 pingat emas yang ditetapkan.
"Lubuk emas kita adalah sukan ping pong yang mana kita letakkan sasaran 12 emas daripadanya," katanya.
Beliau juga mengingatkan para atlet supaya berusaha memastikan bendera Terengganu dijulang di podium.
"Tentang imbuhan, kerajaan negeri masih berahsia kerana kita tidak mahu mengganggu tumpuan atlet.
"Kita mahu atlet capai kejayaan terlebih dahulu dan kerajaan negeri pasti tidak akan mengabaikan kejayaan yang mereka bawa pulang," katanya.
Pada Para SUKMA di Sarawak dua tahun lalu, Pasukan Para SUKMA Terengganu menduduki tempat ketiga keseluruhan pungutan pingat dengan 28 pingat emas.