• Bajet 2019 : Peruntukan Hakisan Pantai RM90 Juta, Perlu Dikembalikan

    Hishamuddin Abdul Karim.
    KUALA TERENGGANU, 26 November - Kerajaan negeri dan pihak berkaitan digesa bersemuka dan  mengadakan rundingan dengan Kerajaan Pusat agar projek menangani hakisan Pantai Mengabang Telipot yang bernilai RM90 juta diteruskan.

    Wakil PAS-Tepoh, Hishamuddin Abdul Karim, berkata pendekatan  itu sangat wajar kerana dibimbangi kejadian hakisan terus berlarutan ke kawasan lain.

    “Kesannya sudah pasti akan merisaukan penduduk berdekatan selain menyukarkan  nelayan turun mencari rezeki.

    “Saya difahamkan, peruntukan bagi tujuan itu ditarik balik oleh Kerajaan Pusat selepas Parti Pakatan Harapan mengambil alih tampuk kepimpinan atas alasan kekurangan wang,” katanya.  

    Beliau berkata demikian ketika sesi perbahasan di Persidangan Dewan Undangan Negeri, hari kedua, di Wisma Darul Iman, hari ini.

    Hishamuddin turut memberitahu, tindakan menarik balik peruntukan bagi projek menangani hakisan pantai  sangat tidak wajar kerana ianya sudah diluluskan dan diserahkan kepada kontraktor yang dilantik.

    “Perkara itu ada dinyatakan Mantan Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Razif Abd Rahman dalam Persidangan Dewan Undangan Negeri lalu.

    “Oleh itu, saya berharap kerajaan negeri berusaha mengembalikan peruntukan itu kepada Terengganu supaya projek tangani hakisan Pantai Kampung Kolam, Mengabang Telipot tidak terbengkalai, ” katanya. - teganukita.net
  • Anda mungkin juga berminat