Khairunnisa sokong tindakan Kerajaan Persekutuan menambah jumlah pusat jagaan kanak-kanak. |
Timbalan Pengerusi Khairunnisa', Tuan Roslina Tuan Sulaiman berkata, ianya bertepatan dengan
hasrat kerajaan negeri sebagaimana dalam manifesto PAS untuk membuka pusat nurseri di jabatan kerajaan.
“Ianya adalah langkah ke hadapan untuk mengenal pasti sumbangan wanita kepada tenaga kerja.
"Dan memberi peluang kepada wanita bekerjaya untuk sentiasa dekat dengan anak mereka," ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Majlis Perasmian Himpunan Mujahidah 5.0 di Kompleks Tarbiyyah Darul At Taqwa (KOMTAQ), kelmarin.
Menurutnya, pusat nurseri yang ditubuhkan di setiap agensi kerajaan akan dapat mengurangkan masalah ibu bapa yang bekerja seperti penderaan terhadap kanak-kanak.
"Ibu bapa yang bekerja akan rasa lebih selesa di tempat kerja tanpa rasa bimbang dengan penjagaan anak-anak mereka.
"Ini secara tidak langsung akan meningkatkan lagi produktiviti kerja mereka.
"Tambahan pula, dengan kemudahan ini, mereka dapat menyusukan sendiri anak-anak sesuai dengan kempen yang menggalakkan bayi minum susu ibu," jelasnya.