Ariffin Deraman (dua dari kiri) mencuba menyedut madu lebah kelulut menggunakan picagari sambil diperhatikan oleh Mohd Amran. |
HULU TERENGGANU, 21 November - Pengurus Taman Pertanian Sekayu, Mohd Amran Awang memaklumkan, Taman Pertanian Sekayu akan dibuka sepanjang tahun kecuali jika berlaku banjir atau sebarang arahan tutup daripada pihak berkuasa.
"Fenomena kepala air dan wabak kencing tikus tidak pernah berlaku di sini sejak dibuka," ujarnya.
Dalam tumpuan lain, Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Maklumat Negeri berkata, beliau dimaklumkan kehadiran pengunjung di sini sangat ramai terutama pada hari Jumaat, Sabtu dan cuti-cuti sekolah.
"Salah satu tarikan yang ada di sini adalah pusat ternakan lebah kelulut. Terdapat puluhan spesis yang ada, sebahagiannya tidak terdapat di tempat-tempat yang lain dan pengunjung boleh melihatnya sendiri dari dekat.
"Selain itu, terdapat juga dusun buah-buahan tempatan. Di sinilah terdapat kelainan kerana pengunjung boleh merasai sendiri pengalaman mengait buah tersebut apabila musim buah tiba," menurutnya.
Ariffin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Alur Limbat berkata demikian ketika ditemui wartawan Urusetia Penerangan Darul Iman (UPDI) selepas selesai Lawatan Kerja Ke Taman Eko Rimba Sekayu dan Taman Pertanian Sekayu di Hulu Terengganu, baru-baru ini (18 November).
Tambah beliau, portfolionya akan bekerjasama dengan Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Desa Negeri, Dr Azman Ibrahim bagi sama-sama memajukan Taman Pertanian Sekayu. - teganukita.net