• Exco Wanita Kelantan Ucap Tahniah Kepada Terengganu Lantik ADUN

    Mumtaz Md Nawi.
    KOTA BHARU, 1 Disember - Exco Kebajikan, Pembangunan Keluarga dan Wanita Kelantan, Mumtaz Md Nawi mengucapkan tahniah dan syabas kepada Kerajaan Terengganu di atas pelantikan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan Senator Dewan Negara kelmarin, yang kedua-duanya diwakili wanita.

    "Tahniah dan syabas kepada Kerajaan Terengganu kerana memberi ruang kepada generasi wanita pelbagai peringkat usia ke hadapan bagi menyuarakan isu-isu wanita.

    "Pelantikan YB Zuraida Md Noor sebagai ADUN adalah sangat unik dan bersejarah kerana ia dibuat tanpa melalui pilihan raya.

    "Apapun mediumnya sama ada menerusi proses pilihanraya atau pemilihan di Dewan Undangan Negeri (DUN), ianya akan menjadi lambang suara muslimat dan wanita di persada legislatif dan eksekutif," ujarnya.

    Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan media, mengulas tentang pelantikan tersebut.

    Menurut Mumtaz, ianya jelas membuktikan Kerajaan PAS Terengganu memartabatkan wanita dengan memastikan kebersamaan muslimat mewakili Islam dan rakyat sama ada dipilih atau dilantik.

    "Semoga dengan pelantikan ini, kita dapat sama-sama membentuk 'Baldatun Toyyibatun Wa Rabbun Ghafur' (Negara Sejahtera Rahmat Untuk Semua)," tambahnya. - teganukita.net
  • Anda mungkin juga berminat