Oleh: Khalid Abdullah
KEMAMAN, 9 Januari - "Baju ada dah, tapi dok leh gi sekolah," petah kata Fara Imelda Saffiya Fairuddin, pelajar malang yang gagal bersekolah kerana tiada surat beranak.
Beliau ditemui bersama keluarga di Kampung Gelugor, Kertih, di sini, pagi semalam sangat kecewa apabila tidak dapat bersama kawan-kawan ke Tahun Satu.
"Rindu kawan-kawan semasa bersekolah tadika dahulu, seronok kalau dapat bersama pergi sekolah.
"Baju, kain, kasut dan stokin semua dah ada, kakak pun sudah bersekolah," katanya.
Fara Imelda adalah anak kedua kepada pasangan suami isteri Fairuddin Jaafar, 39, dan Noraziawati Omar, 42.
Menurut Noraziawati, kakak kepada Fara Imelda iaitu Fabazla Syahindah Fairuddin , 9, dan anak ketiga mereka bernama Fayyad Hijazi Fairuddin, 3, mempunyai surat beranak.
"Dua anak ada surat beranak, cuma Fara Imelda sahaja yang tercicir, saya masih ingat dia lahir di Hospital Kemaman pada 21 Januari 2012," kata Noraziawati.
Ketika ditanya, beliau memaklumkan, suaminya tidak bekerja, punca pendapatan mereka sekeluarga hanya dengan membantu ibunya menjual kuih.
"Sudah hampir sebulan tidak dapat membantu ibu, sebenarnya baharu keluar hospital kerana jangkitan kuman di kaki,” ujarnya.
Sementara itu, Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Tengah Kertih, Ad Asmera Abu Bakar yang turut serta dalam pertemuan memberitahu, beliau telah berusaha membantu menyelesaikan masalah keluarga ini setelah mendapatkan maklumat dari rakan-rakan.
"Kita telah membawa keluarga ini ke Jabatan Pendaftaran Negara Cawangan Kertih kelmarin dan cuba membantu mereka melengkapkan borang permohonan surat beranak sebelum membantu urusan persekolahan anak ini," ujarnya.
Dalam perkembangan sama, Bahagian Pengurusan Sekolah, Pejabat Pelajaran Kemaman ketika dihubungi menasihatkan keluarga tersebut hadir ke pejabat mereka di Cukai untuk urusan kemasukan ke sekolah. - teganukita.net