Hishamuddin mahu TFC terus cemerlang. |
Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT), Hishamuddin Abd Karim memaklumkan, dalam majlis itu akan turut diadakan sesi memperkenalkan pemain TFC dan TFC2.
“Jualan jersi juga akan bermula pada hari tersebut dan saya berharap penyokong pasukan akan memenuhi stadium pada hari tersebut.
“Kita juga melihat kembali suka duka perjalanan pasukan kesayangan kita sepanjang musim 2018 lalu, selain menyediakan beberapa aktiviti pada majlis tersebut,” katanya dalam Program Sembang Santai yang bertajuk ‘Perkembangan Terkini Bola Sepak Terengganu FC musim 2019’ secara langsung di TV Darul Iman, hari ini.
Dalam program tersebut, beliau turut mengetengahkan beberapa pembaharuan yang dilakukan pasukan termasuk harga tiket baharu bernilai RM15 untuk musim baru Liga Super itu.
“Sebenarnya, harga RM15 ini pernah diperkenalkan dahulu sebelum TFC jatuh ke Liga Premier pada tahun 2017.
“Saya akui fasiliti yang ada masih kurang dibandingkan stadium lain. Tetapi, kita terpaksa menaikkan harga tiket bertujuan untuk baik pulih dan situasi masa kini.
“Kos kita meningkat, tetapi dengan kapasiti stadium yang kecil kita tidak dapat mengumpul satu jumlah yang cukup untuk menampung keperluan pasukan.
“Ini adalah satu keputusan yang tidak popular namun, kita harapkan penyokong TFC akan bersama kita dalam hal ini,” katanya.
Beliau turut berhasrat meneruskan budaya solat Maghrib di dalam stadium pada hari perlawanan.
“Ia akan diteruskan dan PBSNT telah mendapat sokongan imam masjid negeri.
Bagaimapun, kita akan tetapkan waktu supaya tidak menggangu pemain yang akan masuk ke padang selepas itu,” katanya yang ingin melaksanakan budaya kebersihan dalam stadium dengan kerjasama Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) dan penyokong.
Hishamuddin dan Shahrizan ketika ditemu bual TV Daul Iman. |
Sementara itu, seorang lagi panel iaitu Setiausaha Eksekutif PBSNT, Shahrizan Mat Zin menegaskan, pengurusan akan berusaha memenuhi hasrat peminat berdasarkan kemampuan mereka.
“Pihak Malaysia Football League (MFL) telah bersetuju untuk membaiki Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA) dan proses ke arah itu telah dilaksanakan.
“Kita juga memberi ruang kepada peminat untuk cetuskan idea dan pandangan untuk kemajuan pasukan dan walaupun berdepan kekangan, kita berusaha untuk lakukan sebaik mungkin,” katanya.
Terengganu Incorporated Sdn. Bhd. (Terengganu Inc.) merupakan penaja utama TFC bagi musim 2019 akan turut diperkenalkan pada tarikh pelancaran nanti.
Pasukan TFC yang baru menandatangani kontrak termasuk pemain Uzbekistan, Sanjar Shaakhmedov akan menjalani aksi pra musim menentang beberapa kelab dari Vietnam di sana pada pertengahan bulan ini. - teganukita.net