• Lembu Berkeliaran Undang Tragedi Maut


    Oleh: Adli Mohamad

    DUNGUN, 14 Januari - Pemilik haiwan ternakan di sekitar Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Besi dinasihatkan tidak membiarkan haiwan peliharaan mereka berkeliaran di jalan raya kerana tindakan itu boleh mengundang kemalangan maut.

    Pegawai Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Besi, Ghazali Sulaiman berkata, sikap tidak prihatin segelintir penternak  boleh menjadi punca tragedi dan mengancam nyawa orang awam terutama apabila dibiarkan bebas pada waktu malam.

    "Saya menasihatkan begini kerana melihat banyak lembu berkeliaran di jalan dari Bandar Al-Muktafi Billah Shah (AMBS) ke Paka yang juga antara punca  tragedi maut melibatkan jiran saya, beberapa hari lalu.

    "Mangsa berkhidmat di Kuala Lumpur akan bersara Februari nanti dan balik ke AMBS untuk menguruskan hal pencennya, namun ajalnya tiba apabila melanggar lembu yang dibiar tanpa pengawasan," jelasnya.

    Beliau berkata demikian ketika ditemui media semalam sebagai mengulas mengenai kejadian maut melibatkan mangsa, Zahari Ngah, 60, di jalan yang sama, baru-baru ini.

    Ghazali memberitahu, berdasarkan maklumat yang diperolehinya, mangsa pada awalnya gagal mengelak dari melanggar lembu berkeliaran sebelum terbabas dan kemudian dilanggar pula kereta yang melalui tempat kejadian.

    Katanya, akibat kejadian itu, mangsa maut di tempat kejadian berikutan kecederaan parah. - teganukita.net
  • Anda mungkin juga berminat