Oleh: Dzakaria Mohd Salleh
SETIU, 9 Januari - Rakyat Terengganu dan di Setiu khususnya digesa kembali kepada al-Quran sebagai petunjuk utama di akhir zaman yang sangat mencabar kini.
Ahli Parlimen Setiu, Ustaz Shaharizukirnain Abd Kadir berkata, cabaran yang berlaku di akhir zaman adalah kerana ramai manusia menyeleweng dari jalan yang benar.
“Mereka tidak meletakkan al-Quran di tempat yang betul, hanya sekadar di bibir sahaja," katanya ketika berucap pada Majlis Tilawah Al Quran Perigkat Kawasan Setiu di Dewan Serbaguna Sungai Tarom, di sini kelmarin.
Program itu dirasmikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Asas Tani dan Pembangunan Desa negeri, Dr Azman Ibrahim.
Qari dari Sungai Tong, Muhammad Muaz Mokhtar telah berjaya menjadi johan manakala bagi kategori Qariah dimenangi oleh Shayuti Mohamed Adnan dari Chalok Kedai.
Mereka telah menewaskan 7 peserta lain dengan membawa pulang wang tunai RM2000 beserta piala pusingan.
Menurut Shaharizukirnain, program yang dianjurkan kerajaan negeri ini berupaya untuk menarik semua golongan agar beramal dengan ajaran di dalam al-Quran selain daripada membaca dan mempelajarinya. - teganukita.net