Keadaan anak kecil Syria yang hidup sebagai pelarian. |
TURKI, 31 Disember - Misi kemanusiaan Muslim Care Malaysia ke negara Timur Tengah bagi membantu umat Islam Syria di situ dipenuhi jadual yang padat dan menyuntik pelbagai manfaat untuk kerjasama jangka masa panjang.
Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri, Haji Yahaya Ali berkata, rombongan turut berpeluang melawat dua sekolah rendah dan menengah yang diuruskan oleh Muslim Care dengan kerjasama Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF), Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dan Kerajaan Turki.
"Terdapat hampir 1,000 orang yang sedang belajar di dua sekolah ini.
"Kami juga diberi penghormatan dapat bertemu dengan Datuk Bandar Reyhanli, Fatih Cobanoglu dan Pengarah Pendidikan Reyhanli, Mohmet Ali Asalan walaupun pertemuan itu menerusi notis yang singkat.
"Banyak manfaat yang diperolehi dari mereka untuk kerjasama jangka panjang,"katanya.
Beliau berkata demikian ketika dihubungi pemberita hari ini, mengulas penyertaannya dalam Misi Bantuan Kemanusiaan yang diketuai oleh Presiden Muslim Care Malaysia, Haji Zulkifli Wahijan.
Turut serta, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Penaga, Pulau Pinang dan pendakwah bebas, Ustaz Nazmi Karim dan Penyelaras Parlimen Setiu, Dr Ridhuan Mohd Nor yang juga Exco Muslim Care Malaysia.
Menurut Yahaya, berdasarkan maklumat terdapat lebih dari 6 juta rakyat Syria menjadi pelarian yang bertebaran sama ada dalam negeri atau luar negeri, manakala pelarian di Turki sahaja berjumlah lebih kurang 3.5 juta orang.
Katanya, sikap Kerajaan Turki yang bukan sahaja menerima baik kebanjiran pelarian tetapi membantu mereka sebagai saudara seislam seharusnya diberi penghargaan dan membuka mata ramai pihak untuk mengiktiraf tanggungjawab itu.
"Walau pun apa yang dilakukan oleh pertubuhan seperti Muslim Care Malaysia adalah usaha kecil berbanding dengan jumlah pelarian tetapi ia cukup membanggakan dan seharusnya diberikan sokongan dan penghargaan.
"Kami sempat melawat pelarian di beberapa tempat dan tidak dapat digambarkan penderitaan yang dialami oleh mereka lebih-lebih lagi dalam suasana musim sejuk. Malah, seekor lembu disembelih untuk dibahagikan dagingnya kepada mereka,"katanya.
Berkongsi lanjut pengalaman beliau, Yahaya memberitahu golongan ibu tunggal dan anak yatim serta lelaki yang cacat anggota akibat perang boleh ditemui di mana-mana sahaja.
Tambahnya lagi, ada sebahagian daripada menemui rombongan misi untuk menerima sumbangan pada waktu malam selepas diatur oleh pihak Muslim Care Malaysia.
Menurutnya lagi, apa yang berlaku di Syria dengan peperangan yang tiada kesudahan merupakan suatu tragedi serta rakyat pula menjadi mangsa akibat pemimpin yang rakus dan zalim.
"Lebih malang lagi apabila membenarkan kuasa besar dunia seperti Amerika dan Russia campur tangan hingga menjadi tempat mereka berebut pengaruh, menguji senjata baru mereka dan akhirnya membunuh rakyat Syria.
"Kita mengharapkan jika benar kuasa besar seperti Amerika mahu mengundurkan tentera mereka dari bumi Syria, negara Turki sebagai negara umat Islam berjiran dengan Syria yang diramalkan bangkit semula sebagai kuasa besar Islam akan memainkan peranan yang lebih jauh, adil dan berkesan untuk menyelesaikan persengketaan ini yang membawa padah kepada umat Islam,"katanya lagi. - teganukita.net