KUALA TERENGGANU, 16 Januari – Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Kampung (Kg) Cina, di sini, menggesa pemaju supaya menyiapkan segera pembangunan yang dirancang berikutan pengambilan tanah di kawasan itu melibatkan kepentingan orang ramai.
Pengerusi MPKK Kg Cina, Chua Kim Huat @ Jefri Chua berkata, jika projek belum dapat dilaksanakan dalam tempoh terdekat, pihaknya berharap pemaju dapat membersihkan kawasan terlibat yang kini menjadi tempat pembiakan nyamuk aedes.
“Tanah ini diserahkan kepada pemaju dan sekarang ini (kes pembiakan nyamuk) sudah beritahu kepada Ustaz Ahmad Shah (ADUN Bandar) dengan MBKT (Majlis Bandaraya Kuala Terengganu) melalui MPKK.
"YB (ADUN) tandatangan untuk suruh bersih kawasan ni. Kalau tidak kita boleh saman kerana tidak boleh dibiarkan begini," jelasnya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita di Kg Cina, di sini, hari ini.
Jefri berkata, kerajaan sebelum ini mengambil tanah tersebut dengan orang kampung yang terdiri daripada Cina dan Melayu.
“Sudah tujuh, lapan tahun kawasan terbabit menjadi semak), kalau rancangan dia (pemaju) nak buat kondominium 40 tingkat.
“Kita sudah cadangkan supaya bersih dahulu dan buat tempat parking sementara untuk jangka pendek.
“Pada masa panjang kalau ikut lunas undang- undang kalau boleh kerajaan ambil balik. Tak boleh biarkan begini sampai 100 tahun,” ujarnya.
Justeru itu, beliau mencadangkan supaya dibuat parkir sementara untuk jangka masa pendek sebelum pembangunan untuk jangka panjang dapat dilaksanakan seperti dirancang pemaju.
Kata Jeffri lagi, beliau juga dimaklumkan bahawa pada asalnya tanah tersebut diserahkan kepada pihak pemaju untuk dijadikan sebuah hospital swasta. - teganukita.net