Tun M menyampaikan sumbangan kepada salah seorang penghuni Taman Sinar Harapan Bukit Besar, hari ini. |
Keceriaan jelas terpancar di wajah para penghuni dengan kedatangan pemimpin nombor satu negara itu untuk meluangkan masa seketika bersama mereka, selain meninjau prasarana termasuk asrama di pusat penjagaan yang berusia lebih tiga dekad itu.
Mohd Firdaus Mohd Azmi, 15, yang tinggal di pusat jagaan itu sejak dua tahun lalu berkata, dia dan penghuni yang lain sangat teruja untuk menerima kunjungan Tun M yang pertama kali melawat negeri ini sejak kembali menjadi Perdana Menteri Malaysia.
“Saya sangat seronok apabila dapat tahu Perdana Menteri akan datang ke tempat kami, pagi tadi saya bangun awal pukul 5 pagi kerana tidak sabar untuk jumpa beliau.
“Saya sangat kagum dengan kepimpinan Tun M, sebelum ini cuma dapat lihat di televisyen, tidak sangka pula hari ini dapat bersalaman dengan tokoh yang saya kagumi sejak kecil lagi,” ujar pelajar tingkatan tiga Sekolah Menengah Kebangsaan Chung Hwa Wei Sin kepada pemberita di Majlis Ramah Mesra Perdana Menteri Dengan kanak-Kanak Taman Sinar Harapan, sempena lawatan kerja sehari Tun M ke Terengganu, hari ini.
Turut hadir, Timbalan Pembangunan Wanita, Keluarga Dan Masyarakat, Hannah Yeop, Ketua Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat Malaysia, Mohd Fazari Mohd Salleh dan Setiausaha Kerajaan Negeri Terengganu, Dato’ A. Rahman Yahya.
Sementara itu, Mohd Hadi,13, berkata lawatan Tun M menunjukkan keprihatinan beliau dan kerajaan terhadap penghuni Taman Sinar Harapan.
"Saya sangat gembira dan berterima kasih kerana banyak pihak yang membantu kami terutamanya perdana menteri yang turun padang melawat kami,” ujarnya yang menetap di pusat berkenaan sejak empat tahun lalu.
"Saya sangat gembira dan berterima kasih kerana banyak pihak yang membantu kami terutamanya perdana menteri yang turun padang melawat kami,” ujarnya yang menetap di pusat berkenaan sejak empat tahun lalu.
Taman Sinar Harapan Kuala Terengganu yang ditubuhkan pada tahun 1984 bertujuan memberikan perkhidmatan penjagaan, perlindungan dan pemulihan kepada Orang Kelainan Upaya (OKU) masalah pembelajaran sehingga berumur 14 tahun.
Ianya mampu memuatkan sehingga 100 penghuni serta disokong kemudahan lain seperti bilik fisioterapi, hidroterapi, muzik terapi, jahitan, masakan, iqra, fardu ain serta akademik. - teganukita.net