• Peruntukan RM5 Juta Untuk Skim Bantuan Modal Tani


    Terengganu  memperuntukkan sejumlah RM5 juta sebagai kemudahan pinjaman  Skim Bantuan Modal Tani (SBMT) tanpa faedah kepada mereka yang menceburkan diri dalam sektor Pertanian, Penternakan dan Perikanan  di negeri ini.

    Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Desa Negeri, Dr. Azman Ibrahim berkata skim bantuan dalam bentuk barangan, perkakas, enjin, anak benih, peralatan dan bermungkinan akan meluluskan bantuan kewangan  itu akan diuruskan  Lembaga Pertubuhan Peladang Kawasan (LPPK).

    “Setiap individu  layak membuat pemohonan SBMT tidak melebihi RM50,000 atau nilaian kelulusannya bergantung kepada jenis sektor yang diceburi. Tempoh bayaran pinjaman bergantung kepada jenis perusahaan.

    “Mereka yang mahu membuat pinjaman perlu berumur  18 tahun hingga 65 tahun, menyediakan lokasi sebagai bukti benar-benar mahu menceburi bidang yang mahu diusahakan,” katanya kepada Urusetia Penerangan Darul Iman (UPDI) di pejabatnya, petang semalam.

    Katanya, tujuan kerajaan mengutamakan pinjaman dalam bentuk bentuk barangan kerana tidak  mahu dana yang diluluskan disalahguna.

    “Terdapat beberapa kes sebelum ini, ada individu yang tidak bertanggungjawab menggunakan wang pinjaman membeli barangan tidak sepatutnya, termasuk telefon bimbit dan motosikal.

    “Oleh itu, LPPK mengambil sikap berhati-hati mengelak perkara sama berulang,”katanya.

    Katanya, buat permulaan, kerajaan bersetuju meluluskan SBMT sejumlah RM5 juta dengan kadar pinjaman tidak melebihi RM50,000 bagi setiap pemohon,  berkemungkinan peruntukan itu  akan ditambah sekiranya ada permintaan.

    “Mereka yang berminat untuk berbuat demikian boleh menghubungi LPKK berdekatan mulai  29 Januari ini untuk urusan pengambilan borang, khidmat nasihat dan tunjuk ajar.

    “Bagi tujuan itu, kerajaan bersetuju melancarkan SBMT pada tarikh sama iaitu 29 Januari yang akan dirasmikan saya sendiri di Dewan Undangan Negeri (DUN) Jabi ,”katanya. - teganukita.net
  • Anda mungkin juga berminat