Oleh: Abdul Hafiz Ghazali
KEMAMAN, 6 Januari - Kesukaran sebuah keluarga yang tinggal di rumah pusaka uzur tanpa kemudahan tenaga elektrik dan bekalan air selama lebih 10 tahun mendapat perhatian kerajaan negeri.
Rumah Murad Ahmad, 42, yang tinggal bersama isteri serta empat orang anak itu dibaik pulih dengan anggaran kos RM10,000.
Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita dan Keluarga & Perpaduan Nasional negeri, Hanafiah Mat berkata, beliau difahamkan keluarga yang boleh dianggap miskin tegar itu kini hidup tanpa bekalan elektrik sejak 10 tahun lalu.
Katanya, keluarga itu ada menerima bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM400 sebulan. Bagaimanapun jumlah tersebut tidak mampu menampung bil elektrik kerana dibelenggu kesempitan hidup.
“Kerajaan mengambil cakna perihal itu dengan berusaha membaik pulih kediaman dan menghulurkan sumbangan agar Murad yang bekerja sebagai nelayan bersama keluarga dapat menjalani kehidupan lebih selesa,” katanya. - teganukita.net