Haji Yahaya (tengah) bercakap kepada media. |
KUALA NERUS, 19 Januari - Persekutuan Silat Kebangsaan Malaysia (PESAKA) Terengganu akan berusaha mewujudkan suatu jenis silat bercirikan identiti Terengganu dan akan diperkenalkan pada satu masa nanti.
Yang Dipertua PESAKA Terengganu, Yahaya Ali berkata, bagaimanapun persatuan itu tidak menentukan 'time frame' (jangka masa) tertentu untuk mewujudkan seni silat tersebut.
"Kita meraikan seni silat yang sedia ada di negeri ini dan akan turut mempopularkan satu silat yang berasal dari Terengganu dan dapat diterima oleh semua pihak," katanya kepada pemberita di sidang media selepas mesyuarat kali pertama persatuan itu di Bilik Mesyuarat Majlis Sukan Negeri Terengganu (MSNT) di sini petang tadi.
Haji Yahaya (tiga dari kiri) sedang mempengerusikan Mesyuarat PESAKA Kali Pertama, di MSNT. |
"Jika ada yang belum berdaftar ataupun yang sudah berdaftar tetapi tempoh pendaftarannya telah tamat, kita akan hidupkan.
"Ini kerja jangka panjang, kita tidak boleh bergerak atas nama negeri untuk terus aktif ke daerah-daerah dan kampung-kampung. Mesti ada penyelarasan daripada persatuan induk dengan persatuan itu dan akan diberi tugas ke peringkat daerah-daerah, barulah kita boleh bergerak secara lebih teratur," jelas beliau.
Katanya, wujudnya satu persatuan seni silat di peringkat daerah adalah penting untuk tujuan tersebut.
Yahaya turut berkata, semua seni silat di Terengganu mesti selari dengan ajaran Islam dan menjadi aktiviti sukan yang diminati oleh semua pihak khususnya generasi muda.
"Kita mahu generasi muda menjadikan seni silat sebagai satu kegiatan penting mereka untuk memastikan masa mereka tidak dihabiskan untuk aktiviti yang tidak berfaedah," ujarnya.
Dalam pada itu, PESAKA Terengganu berhasrat untuk menguasai kejohanan-kejohanan besar dalam dan luar negara.
"PESAKA seharusnya bergerak lebih aktif ke hadapan dan diharapkan mendapat kerjasama daripada semua pihak," ujarnya lagi. - teganukita.net