Dr. Samsuri teliti tarif wajar supaya tidak membebankan rakyat. |
KUALA TERENGGANU,16 Januari - Kerajaan negeri dalam proses meneliti cadangan Kementerian Air, Tanah dan Sumber Asli dalam menentukan tarif air di Terengganu dengan mengutamakan kesan kenaikannya kepada rakyat terutama golongan berpendapatan rendah.
Menteri Besar, Dr. Ahmad Samsuri berkata, pihaknya sedang mempertimbangkan serta melihat lebih terperinci kesan pelaksanaannya itu kepada pengguna.
"Apa yang menjadi objektif negeri adalah kesan kenaikan (tarif air) kepada rakyat awam yang berpendapatan rendah adalah pada tahap yang sangat minima, ini adalah komitmen kita.
"Saya percaya akan berlaku sedikit kenaikan tetapi kita akan mengkaji seluruh segmen masyarakat terutama golongan yang memerlukan," katanya ketika ditemui pemberita selepas Majlis Serah Tugas Pegawai Kanan Negeri dan Angkat Sumpah Pihak Berkuasa Tempatan di Wisma Darul Iman, di sini, hari ini.
Di majlis tersebut, seramai 16 pegawai kanan menerima watikah pelantikan bagi jawatan utama negeri melibatkan Pegawai Daerah dan Yang Dipertua Daerah.
Ketika ditanya mengenai kadar tarif baharu, Dr. Samsuri menyatakan keperluan menjustifikasikan tarif kerana berlaku peningkatan operasi dan perubahan inflasi serta kadar bekalan keperluan rakyat itu.
"Ini sedang kita teliti tentang keperluan untuk melaksanakan tarif baharu dan kesannya kepada kewangan, syarikat air dan perkara berkaitan.
"Melalui inisiatif negeri memberi bantuan perbelanjaan air kepada kalangan rakyat tertentu, saya percaya kesan yang akan berlaku adalah pada tahap minima. Kita akan capai keputusan setelah melakukan penelitian sebelum pertengahan Februari ini," katanya.
Pada masa ini, tarif air di Terengganu adalah pada kadar 42 Sen pada 0-20 Meter Padu (M3) bagi rumahtangga dan RM15 hingga RM300 pada 0-70 M3 bagi perdagangan, perusahaan, ladang kapal dan bot perdagangan serta bangunan kerajaan.
Manakala, bagi surau dan masjid pula, nilai yang dikenakan pada kadar 0-50 M3 adalah percuma. - teganukita.net