• Wujud Sidang Dewan Undangan Negeri Untuk Belia Terengganu


    Oleh: Muhammad Najib Ismail

    HULU TERENGGANU, 20 Januari - Kerajaan negeri akan mewujudkan sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Belia mirip kepada sidang DUN yang sedia ada untuk memberi ruang kepada pemimpin belia yang dipilih bagi menyampaikan suara dan pandangan mereka.

    Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan NGO negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, sidang DUN Belia ini akan memudahkan kerajaan mendengar pandangan dan kaedah penyelesaian isu-isu mereka.

    “Ahlinya ini akan dipilih dalam umur 15 hingga 30 tahun dan akan melalui beberapa saringan untuk mendapatkan yang terbaik di kalangan belia, bukan melalui undian tetapi akan ditentukan oleh pihak kerajaan melalui pemilihan berdasarkan beberapa kriteria.

    “Dan kita kekalkan Yang Dipertua Dewan (Speaker) yang sedia ada supaya dapat merasai suasana sebenar sidang dewan apabila bersidang,” katanya.

    Wan Sukairi berkata  demikian dalam Majlis Dialog Kepimpinan Belia Bersama Exco Pembangunan Belia, Sukan dan NGO di Dewan Utama Daerah Hulu Terengganu, di sini semalam.

    Turut hadir, Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Negeri Terengganu, Mohd Saufi Mohd Ibrahim, Pengerusi Majlis Belia Negeri Terengganu, Amirullah Othman dan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) seluruh Hulu Terengganu.


    Menurut beliau, kerajaan negeri juga telah meluluskan Akademi Kepimpinan Belia Terengganu Sejahtera (AKIBTS) dengan memberi peruntukan RM1 juta bagi mereka membuat kursus dan program untuk melahirkan kepimpinan belia Terengganu yang sejahtera.

    Katanya lagi, belia adalah aset dan khazanah negara yang tidak ternilai, sekali gus menjadi pelaburan penting untuk menjamin masa depan negara dan golongan ini adalah aset penting yang akan mewarisi kepimpinan dan pembangunan masa depan, selain mampu mempengaruhi trend dan sikap masyarakat dalam sesebuah negara.

    “Daripada kata-kata Saidina Ali r.a. mengatakan, ‘Jika kamu mahu melihat masa depan sesebuah negara, maka lihatlah pemuda-pemudinya pada hari ini’ menunjukkan bahawa jatuh bangunnya sesebuah negara terletak di tangan remaja masa kini kerana mereka merupakan waris kepimpinan negara pada masa akan datang.

    “Oleh itu, para belia mestilah melengkapkan diri mereka dengan segala jenis ilmu pengetahuan termasuklah ilmu kepimpinan kerana menjadi tanggungjawab belia untuk membangunkan negeri kita dan dalam masa yang sama, belia haruslah mempunyai paradigma yang tinggi untuk membimbing rakan sebaya ke arah melakukan kebaikan dan memberi manfaat kepada masyarakat sekeliling,” katanya. - teganukita.net
  • Anda mungkin juga berminat