• YDP Dan DO Marang Terima Kunjungan Hormat ADUN


    Oleh: Aslam Wira

    MARANG, 22 Januari - Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang berada di kawasan Marang telah mengadakan kunjungan hormat kepada Yang Dipertua Majlis Daerah Marang dan Pegawai Daerah/ Pentadbir Tanah Marang yang baharu dilantik.

    Antara yang hadir adalah Pengerusi Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan negeri, Ustaz Mohd Nor Hamzah yang juga ADUN Bukit Payung dan ADUN Pengkalan Berangan, Ustaz Sulaiman Sulong.

    Hadir sama, Pegawai Khas Menteri Besar, Sabri Zakaria dan Pegawai Khas ADUN Ru Rendang, Wahad Osman yang mewakili ADUN Ru Rendang serta Pegawai Penyelaras DUN Alur Limbat, Wan Ahmad Zuki Wan Ismail yang mewakili ADUN Alur Limbat.
    Mohd Nor Hamzah berkata, kunjungan itu sebagai tanda mengalu-alukan pelantikan dan khidmat Yang Dipertua Majlis Daerah Marang dan Pegawai Daerah/ Pentadbir Tanah Marang yang baharu.

    “Untuk pertamanya kami yakin dengan lantikan ini, kesepakatan dan kerjasama akan terbina dalam usaha untuk sama-sama membangunkan daerah Marang,” katanya selepas pertemuan itu.

    Sementara itu, Yang Dipertua Majlis Daerah Marang, Mohd Huzairil Nizam Ibrahim menyatakan rasa terharu kerana dapat berjumpa dengan pimpinan masyarakat dan mengucapkan terima kasih atas kunjungan penuh bermakna itu.

    “Berdasarkan penelitian dengan lantikan ini, amanah yang diberikan akan digalas seperti yang dipertanggungjawabkan oleh 'government of the day' (kerajaan hari ini).

    “Kita tidak mahu dilabel menyebelahi mana-mana parti, sebaiknya kita abaikan cakap-cakap orang dan persepsi yang tidak elok,” tegasnya.

    Dalam tumpuan sama, Pegawai Daerah Marang, Tun Ahmad Faisal Tun Abd Razak berkata, dia akan meletakkan satu 'standard' untuk bekerja seperti mana diberi tanggungjawab oleh kerajaan negeri.

    “Kita juga perlu tukar 'mindset' untuk pembangunan rakyat daerah Marang mengikut suasana yang tidak melibatkan simbolik sesuatu parti di mana kita juga sekarang berada di dalam era budaya politik matang.

    “Ini juga akan memudahkan gerak kerja kita apabila tiada konflik yang berlaku,” jelasnya. - teganukita.net
  • Anda mungkin juga berminat