Ir Saiful Azmi Suhaili ketika berucap merasmikan Program Bicara Wanita 'Hidup Sihat Tanpa Kanser' di Pusat Pendidikan Alam Sekitar ecoCare Kampung Labohan, Kerteh, semalam (13 Oktober). |
KEMAMAN - Kesedaran awal tentang cara mencegah, punca dan akibat kanser perlu ditiupkan kepada masyarakat untuk menjamin kehidupan yang bebas daripada penyakit kronik.
Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Kemudahan Awam, Utiliti dan Teknologi Hijau negeri, Ir Saiful Azmi Suhaili berkata, jika kesedaran awal tentang kanser timbul dalam diri, masyarakat akan hidup dalam keadaan sejahtera.
"Yang paling penting adalah kesedaran, dan kalau kita (dapat) tahu awal, insya-Allah kita dapat berusaha untuk selamatkan nyawa dan peluang yang ada lebih cerah," ujarnya.
Beliau menyeru masyarakat agar mengambil tindakan dalam membuat pemeriksaan awal untuk mencegah penyakit kanser.
"Kalau kita tidak ambil inisiatif untuk buat pemeriksaan awal, maka akan menjadi bertambah buruk.
"Bagi pesakit yang berusia 40 tahun ke atas yang menghidapi kanser tahap 1 dan 2, dapatkanlah pemeriksaan percuma di hospital kerajaan," tambahnya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Program Bicara Wanita 'Hidup Sihat Tanpa Kanser', anjuran Pejabat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kemasik dengan kerjasama Jabatan Kerajaan dan Swasta (JKS) serta Dewan Muslimat Parti Islam Se-Malaysia (PAS) Kawasan Kemaman di Pusat Pendidikan Alam Sekitar ecoCare Kampung Labohan, Kerteh, semalam (13 Oktober).
Ir Saiful yang juga ADUN Kemasik turut berharap agar semua orang dapat membantu dan memberi kesedaran antara satu sama lain demi kebaikan keluarga serta masyarakat.
Turut hadir, Pegawai Perubatan Kanan Hospital Kemaman, Dr Hj Matnoh Karim, Pendakwah Bebas, Ustazah Faridah Yahya, Pengerusi serta Jawatankuasa Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Labohan, Pekan Kemasik serta Perumahan Panelex. - teganukita.net