• PAS Berjaya Tingkat Undi PRK PD - Dr Samsuri

    Dr Samsuri Mokhtar (kanan) menyerahkan hadiah kepada para pemenang Majlis Penyampaian Hadiah Kejohanan Kuda Lasak Sultan Mizan Cup di Terengganu International Endurance Park (TIEP), hari ini (14 Oktober).
    SETIU - Parti Islam Se-Malaysia (PAS) berjaya meningkatkan undi dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Port Dickson walaupun tidak memenanginya.

    Menteri Besar Terengganu, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, ianya merupakan sesuatu yang tidak mengejutkan dan beliau berpuas hati dengan proses demokrasi yang ada.

    “Semua dah tahu keputusan PRK Port Dickson, ianya tidak mengejutkan sebenarnya. Keputusan yang ada adalah hasil proses demokrasi yang ada. Siapa yang dapat undi terbanyak, dialah yang menang,” katanya.

    Beliau berkata demikian ketika ditemui wartawan Urusetia Penerangan Darul Iman (UPDI) selepas Majlis Penyampaian Hadiah Kejohanan Kuda Lasak Sultan Mizan Cup di Terengganu International Endurance Park (TIEP), hari ini (14 Oktober).


    Beliau yang juga Ketua Pengarah Jabatan Pilihanraya PAS Pusat berkata, peningkatan undi yang diperolehi oleh calon PAS, Leftenan Kolonel (B) Mohd. Nazari Mokhtar adalah lebih baik.

    “Ini adalah keadaan yang sangat  positif dalam keadaan kita berdepan  dengan PRK yang mana kita lihat semua jentera daripada Pakatan Harapan melibatkan menteri turun dan sebagainya.

    “Namun, kita dapat melihat bagaimana undi yang diterima oleh PAS itu masih tetap utuh,” jelasnya.

    Katanya, ia menunjukkan bahawa dalam apa pun perkara yang berlaku di luar sana, PAS masih mempunyai pengundi setia tersendiri.

    Dalam PRK Port Dickson yang berakhir semalam, calon PAS mendapat 7,456 undi berbanding calon PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang meraih 31,016 undi.

    Sementara itu, lima calon bebas, Tan Sri Mohd. Isa Abdul Samad mendapat 4,230 undi, Mohd. Saiful Bukhari Azlan 82 undi, Stevie Chan Ken Leong 337 undi, Kan Chee Yuen 154 undi dan Lau Seck Yan 214 undi. - teganukita.net
  • Anda mungkin juga berminat