• Agihan Baucer Dana Sekolah Bermula 23 November


    KUALA TERENGGANU, 7 November -Pemohon bantuan awal persekolahan sesi 2019 yang layak akan menerima agihan baucer bermula 23 November ini.

    Rakyat Terengganu yang isi pendapatan keluarga kurang RM2,500 sebulan layak memohon bantuan dana persekolahan yang dibuka secara atas talian (online), bermula pada 1 Oktober lalu.

    Pemohon juga perlu melepasi syarat saringan asas oleh Bahagian Pengurusan Teknologi Maklumat (BPTM), sebelum penilaian oleh Jawatankuasa Penilai Pejabat Daerah.

    Kemudiannya permohonan akan melalui proses tapisan akhir data BPTM dan kelulusan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) untuk penetapan jumlah sebenar penerima bantuan persekolahan yang layak.

    Dalam satu kenyataan sebelum ini, Pengerusi Jawatankuasa Pelaksanaan Syariah, Pendidikan dan Pengajian Tinggi negeri, Satiful Bahari Mamat menganggarkan 116,000 pelajar akan mendapat manfaat daripada dana itu yang digerakkan bagi meringankan bebanan keluarga yang melibatkan peruntukan sebanyak RM12 juta.

    Katanya, pemberian kali ini ditukar semula daripada berbentuk tunai kepada pemberian baucer dengan ibu bapa atau pelajar yang boleh ditebus dengan mendapatkan kelengkapan itu di premis-premis yang ditentukan di setiap kawasan Dewan Undangan Negeri kelak.

    Setiap pelajar lelaki akan menerima baju serta seluar sekolah, stokin, kasut dan beg manakala pelajar perempuan akan menerima kain, baju, stokin, kasut dan tudung. - teganukita.net
  • Anda mungkin juga berminat