Asal usul Kampung Jenang dijenamakan oleh Almarhum Sultan Zainal Abidin I. |
MARANG, 7 November - Asal usul Kampung Jenang di sini adalah sempena nama pintu istana (Jenang) Sultan Zainal Abidin I sekitar tahun 1907.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Berangan, Ustaz Sulaiman Sulong ketika menceritakan sejarah Kampung Jenang di status Facebooknyaberkata, Tuanku Sultan Zainal Abidin I berkenan untuk menamakan kampung itu dengan nama 'Jenang' iaitu pintu istana baginda.
Ustaz Sulaiman Sulong |
Menurut sejarah perkampungan itu pada awal penerokaannya diasaskan oleh Jusoh Abdullah.
"Sejarah bermula apabila empat buah keluarga telah mudik ke hulu Sungai Marang dan berhijrah ke sebuah tempat yang masih belum mempunyai penghuni dan nama.
"Mereka membuat keputusan untuk menetap di sana dengan mewujudkan sebuah penempatan kecil," jelasnya.
Bangsal Kecil dibina untuk kekalkan sejarah Perusahaan Tradisi Membuat Manisan Kelapa di Kampung Jenang. |
Nama perkampungan itu katanya, bermula apabila Almarhum Sultan Zainal Abidin I telah menitahkan agar rakyat jelata mencari batang kayu untuk dijadikan istana baginda yang baharu.
"Titah tersebut telah disampaikan kepada seluruh pelusuk kampung. Titah Baginda akhirnya sampai ke pengetahuan penduduk perkampungan tersebut lalu penduduk perkampungan itu mempersembahkan sebatang kayu dari kampung tersebut kepada baginda.
"Kayu itu telah mendapat perkenan Tuanku untuk digunakan di istana. Kayu tersebut dijadikan “jenang” pintu istana dan bersempena dengan peristiwa tersebut maka Baginda Sultan telah berkenan untuk menamakan kampung tersebut dengan nama Kampung Jenang," ujarnya.
Sebuah bangsal sedang disiapkan untuk Majlis Perasmian Bangsal Manisan Kampung Jenang, Marang 10 November ini. |
Sementara itu penduduk kampung itu kini sedang menyiapkan infrastruktur termasuk surau dan pondok di sekitar "bangsal nisang, warisan tok nyadat", satu tempat untuk perusahaan membuat manisan dari tuak kelapa.
Menurut Ustaz Sulaiman, bangsal tersebut dijangka akan dirasmikan 10 November ini sekaligus orang ramai dijemput untuk menghadiri majlis tersebut di kampung berkenaan. - teganukita.net