• Terengganu Teruskan Dana Bakti Remaja, Peruntukan Persatuan Dengan Mekanisme Lebih Baik

    Wan Sukairi Wan Abdullah.
    KUALA TERENGGANU, 7 November - Pemberian Dana Bakti Remaja dan peruntukan pengurusan bagi persatuan-persatuan belia negeri ini akan dikekalkan dengan mekanisme yang lebih baik.

    Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) negeri, Ustaz Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, perkara tersebut antara yang akan dimasukkan dalam Belanjawan 2019 Terengganu yang akan dibentangkan pada akhir bulan ini.

    Katanya, kedua-dua bantuan tahunan itu bagaimanapun akan ditambah baik dengan mekanisme baharu agar dapat memenuhi matlamat sebenar pemberiannya kepada golongan sasar.

    “Insya-Allah kita akan mengekalkan bantuan kepada golongan remaja ini dalam bentuk yang kita rasakan lebih sesuai dan bermanfaat kepada mereka.

    “Kita tidak potong begitu saja, kita akan teruskan dengan mekanisme yang lebih baik dan jauh lebih sesuai untuk belia.

    “Begitu juga peruntukan untuk persatuan, masih diteruskan cuma makanismenya akan diperbaiki supaya peruntukan yang diberikan itu benar-benar dimanfaatkan sebaik mungkin,” ujarnya.

    Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan tazkirah sempena Bicara Nurani Warga Kerja di Dewan Teater, Wisma Darul Iman, hari ini.

    Turut hadir, Pengarah Institut Modal Insan Terengganu Sejahtera (i-MiTS) Ustaz Kamaruzzaman Abdullah.

    Pembentangan Belanjawan 2019 Terengganu dijadualkan pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) yang bermula pada 25 hingga 29 November ini. - teganukita.net
  • Anda mungkin juga berminat