• Tradisi Perkahwinan Percuma Terus Dapat Sambutan Di Setiu


    Oleh : Hidayah / Ariss / Dzakaria

    SETIU 25 November- Wang tunai RM1,000 dan jamuan untuk 100 tetamu antara insentif disediakan kepada peserta Majlis Walimatulurus di negeri ini bagi meringankan beban pasangan dan keluarga terutama yang berpendapatan rendah, selain mempermudahkan urusan pasangan dalam melangkah ke fasa baharu kehidupan.

    Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Desa negeri, Dr. Azman Ibrahim berkata rakyat negeri Terengganu yang berumur 18 tahun ke atas layak untuk menyertai karnival perkahwinan  dengan pelbagai intensif yang ditanggung oleh Yayasan Pembangunan Keluarga (YPK) Terengganu.

    "Kerajaan negeri yang baharu menukar syarat permohonan dari 18 tahun hingga 35 tahun kepada 18 tahun untuk menyertai karnival ini dan ia mendapat sambutan baik dari penduduk terutama bagi yang berhasrat melangsungkan perkahwinan dan menepati syarat yang diberikan.

    “Ini akan membantu semua golongan asalkan menepati syarat seperti pemohon mestilah bakal berkahwin buat kali pertama dan pendapatan isi rumah tidak melebihi tiga ribu sebulan," katanya ketika merasmikan Majlis Walimatulurus Perdana Peringkat Parlimen Setiu 2018 di Dewan Serbaguna Majlis Daerah Setiu, Sungai Tarom, di sini semalam.

    Turut hadir Ahli Parlimen Setiu, Ustaz Shaharizukirnain Abd Kadir; Pegawai Daerah Setiu Tuan Rosdi Awang; Pegawai Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Langkap, Azmi Maarof; Pegawai Penyelaras DUN Permaisuri, Ustaz Zul Bhari Abd Rahman; Pegawai Penyelaras DUN Batu Rakit, Mohd Shafizi Ismail, ketua-ketua jabatan dan keluarga peserta

    Seramai 13 pasangan telah diraikan pada karnival ini yang merupakan siri ketiga dilaksanakan pada tahun ini.


    Dr. Azman yang juga Ahli Dewan Undangan (ADUN) Jabi, berkata pembinaan institusi rumah tangga adalah penting bagi membina daerah, negeri dan ummah agar keluarga benar-benar menjadi hamba Allah untuk mendapat keberkatan.

    "Bila berkat sikit jadi mencukupi, bila tidak berkat banyak mana sekalipun ia tidak akan mencukupi dan salah satu matlamat kerajaan negeri adalah untuk permudahkan urusan segala yang mungkin,”ujarnya lagi.

    Sementara itu Ustaz Shaharizukirnain Abd Kadir dalam ucapannya berkata perkahwinan akan dapat menjaga kehormatan seseorang.

    "Barang siapa antara kamu yang sudah mampu maka kahwinlah kamu kerana perkahwinan itu dapat menghalang pandangan dan kehormatan.

    "Barang siapa yang tidak mampu maka hendaklah dia berpuasa, kerana berpuasa itu menjadi pelindung," katanya. - teganukita.net
  • Anda mungkin juga berminat