Oleh:Syed Ajizuddin
Kemaman, 25 November- Gangguan air yang berlaku di Kampung Pasir Gajah ketika ini adalah akibat kejadian paip pecah ekoran kerja-kerja menaiktaraf jalan raya dari Kampung Pasir Gajah ke Binjai yang sedang giat dijalankan.
Ahli Dewan Undangan Negeri Air Putih, Tuan Haji Ab Razak Ibrahim berkata, masalah bekalan air bersih terputus disebabkan paip pecah yang menyukarkan urusan harian penduduk Kampung Pasir Gajah dan kawasan sekitar telah diambil tindakan sewajarnya oleh Syarikat Air Terengganu ( SATU).
Katanya, beliau bersama-sama dengan Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Kampung Pasir Gajah, Razali Omar bergegas ke tempat kejadian selepas selesai program ziarah dan menyampaikan bantuan kepada rakyat di Kampung Jabur Perasing untuk melihat sendiri kerja-kerja pembekalan air sementara dan pembaikpulihan yang sedang diselenggarakan oleh pihak SATU.
“Kejadian paip pecah yang berlaku disebabkan kesan daripada tekanan tanah yang ditambun untuk meninggikan paras jalan agar dapat mengatasi masalah banjir yang berlaku saban tahun di kawasan itu.
“Setakat ini pihak SATU sedang berusaha untuk menggantikan paip-paip yang pecah dengan harapan masalah ini dapat diatasi dalam jangka masa dua tiga hari lagi,” ujarnya kepada pemberita, kelmarin.
Menurut beliau, pihak SATU telah membekalkan tangki bergerak untuk meringankan masalah yang dihadapi oleh sekitar 400 buah keluarga di kawasan sekitar.
“Gerakan bersepadu juga di dilakukan melibatkan Pejabat Daerah, BOMBA dan SATU dengan menggunakan tangki-tangki yang dibekalkan oleh pihak BOMBA di tujuh lokasi tertentu termasuk di Masjid Pasir Gajah,” ujarnya.
Beliau juga mengharapkan agar penduduk dapat menggunakan air yang dibekalkan dengan berjimat-cermat agar dapat digunakan oleh semua penduduk. - teganukita.net